Search This Blog

May 31, 2009

welcome school holiday..

Alhamdulillah,musim cuti sekolah sudah pun bermula.Ini bermakna musim kenduri juga sudah bermula.Tapi bagi aku sekeluarga, cuti sekolah belum mempunyai apa-apa makna lagi memandangkan anak perempuan sulungku tetap bersekolah seperti biasa,maklumlah baru ke tadika.Tetapi kemeriahannya tetap juga terasa dengan kehadiran jemputan-jemputan kenduri walaupun belum tentu kami dapat menghadirkan diri lagi.Jemputan yang aku dan suami terima sudah 4 dalam satu hari, itu belum lagi jemputan-jemputan yang diterima dari kampung aku dan suami.Serba-salah juga bila mengingati ada jemputan-jemputan yang tidak dapat kami hadiri secara sengaja ataupun tidak.Ini kerana kebiasaannya pada musim cuti sekolah,suamiku terpaksa bekerja untuk meng'cover' sahabat2nya yang pergi bercuti dengan anak-anak mereka yang telah bersekolah.Bagi mereka inilah masanya mereka cuba menghabiskan masa dengan keluarga dan anak-anak.Apa kan daya,alasan mereka adalah suamiku 'orang dekat' dan belum mempunyai anak yang bersekolah rendah.Jadi pada mereka bila-bila masa sahaja kami boleh bercuti.

Tetapi pada aku,musim cuti sekolah inilah ramai sanak-saudara yang pulang ke kampung dan pada masa ini jugalah kita boleh berjumpa dengan mereka ketika menghadiri jemputan2 kenduri.Dan ketika inilah juga anak-anak kita boleh berkenal mesra dengan sepupu2 mereka yang lain yang hanya boleh mereka temui beberapa kali sahaja dalam setahun.Apatah lagi yang tinggal jauh.Pada waktu inilah hubungan sanak-saudara boleh dieratkan.Tambahan pula hubungan kekeluargaan amatlah dititikberatkan dalam keluargaku.

Memandangkan kami sudah lama tidak pergi bercuti,maka suamiku telah mengambil keputusan untuk mengambil cuti penghujung cuti sekolah ini.Hasratnya ingin membawa kami sekeluarga dan kedua ibubapa mertuaku bercuti.Kemana hala dan tujuan kami tidak direncanakan lagi kerana beberapa sebab dan apapun boleh berubah.Cuma harapan ku semoga apa yang kami rancangkan ini akan berjalan lancar.Insyaallah..

May 27, 2009

syukran ya jazilan suamiku...

Tidak terkata gembiranya aku bila menerima hadiah yang aku idam2kan..dan tertunai juga janji suamiku yang menangguhkan pemberian hadiahnya sempena hari lahirku pertengahan Mei dahulu.Aku sebenarnya bukanlah terlalu mendambakan sesuatu penghargaan,namun hati seorang isteri tidak dapat menafikan yang kadangkala rindukan tanda kasih sayang dari suami tercinta.Bukanlah menafikan yang suami kita tidak kasihkan kita seandainya tidak menghulurkan sesuatu cenderamata,tetapi bila tiba hari yang boleh dikatakan agak istimewa untuk diingati,sudah tentu setiap wanita bergelar isteri akan ternanti-nantikan sesuatu yang istimewa dari suami mahupun anak-anak.

Pemberian cenderahati juga bukanlah tertakluk kepada material yang mahal2 sahaja,tetapi apa juga yang boleh dianggap sebagai tanda ingatan untuk seseorang biarpun berharga hanya beberapa rm.Apa yang penting adalah keikhlasan suami ataupun anak-anak.

Sekali lagi,ucapan terima kasih buat suami tercinta yang sentiasa berusaha untuk membahagiakan aku dan anak-anak.Dan aku sentiasa berdoa semoga Allah merestui segala usaha yang kita lakukan untuk anak-anak.

May 26, 2009

qu ni sheng er kuai le.....(hp bsday)

Hari ini aku terjaga dengan dikejutkan oleh bunyi alarm yg aku set sndiri utk mengingatkan aku tentang hari yg istimewa buat sahabatku.Bukannya terlalu istimewa (takut nanti sahabat2ku yg lain berkecil hati),tetapi hanya untuk mengingatkan aku bahawa hari ini adalah hari lahirnya.Kadang-kadang hari lahir seseorang memang sudah aku ketahui tetapi kerapkali bila tiba hari itu aku seringkali terlupa dek rutin seharian.Tambahan pula dengan melayani kerenah ketiga-tiga anak dara bertuah aku
Sebenarnya tahun ini aku sudah tersilap tarikh hari lahirnya.Aku telah memberi ucapan terawal 10 hari.Syukurlah dia tidak marah dan menyatakan hari lahirnya 10 hari lagi.Malu juga bila diingatkan tetapi aku cover semula dengan kesilapannya yang juga tersilap tarikh hari lahirku.Kiranya kesilapan itu seri 0-0.

Di kesempatan ini ingin aku ucapkan "SELAMAT HARI LAHIR" untuk yang ke2 atau yg ke3 kalinya.Semoga dengan kehadiran tarikh ini sekali lagi telah memberi kesedaran kepadanya bahawa hidup ini semakin singkat.Pertambahan usia tidak akan memberi sebarang erti jika tidak diisi dengan bunga2 kehidupan yang akan menyerikan lagi dunia.

Disini juga ingin aku kabarkan kepadanya tentang bulan kelahirannya dari aspek Islam.Harapanku agar dia beroleh kekuatan untuk menempuh pelbagai cabaran dan semoga dia melahirkan zuriat yang membahagiakan di dunia mahupun di akhirat.Amin..

Jamadil Akhir
.
Wataknya berani, dia hormatkan orang lain. Berbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tapibila dia tahu dia benar, pendiriannnya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibubapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu, kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.


SUP AYAM BEREMPAH



masakan yg bnyk menggunakan rempah,ttp mudah disediakan..

Created on : 26-05-2009

Bahan-bahan (4 org makan )

  • ayam(anggaran 1/2 or suku ekor )
  • bwg merah
  • bwg putih
  • halia
  • kulit kayu manis
  • bunga lawang
  • ubi kentang
  • carrot
  • rempah soto(lihat gmbr bgksn)
  • garam
  • perasa
  • cuka
  • air

Cara-cara

  1. tumbuk bwg merah,putih, halia..tumis bhn2 tumbuk bersama kulit kayu manis dan bunga lawang hingga garing.

  2. masukkan ayam yg telah dipotong kecil2 sambil tutup dengan tudung periuk supaya keluar lemaknya.

  3. masukkan rempah soto sambil kacau sehingga bercampur dengan ayam tadi.kmdn tutup semula selama 5 minit.

    Dsc01444
  4. masukkan pula kentang yg telah dipotong berbaji dan tutup semula supaya kentang cepat empuk.

  5. tambahkan air mengikut sukatan yg diperlukan..biarkan ia mendidih, dan masukkan 1 cb cuka..

  6. masukkan carrot, garam dan serbuk perasa (jika suka).

  7. siap utk dihidangkan bila carrot dan ubi telah empuk.taburkan daun bwg dan daun sup....

AGAR2 RAMBUTAN

Agarrambutan

variasi untuk sesapa yg dah jemu nak mkn rambutan fresh...

Created on : 05-08-2008

Bahan-bahan (10 biji )

  • agar2 - 20 gram
  • air
  • 10 bj rambutan - dibuang kulit & biji, diblender dgn sedikit air
  • gula - kalu suka or kurang manis
  • pewarna merah - kalau suka

Cara-cara

  1. masak agar2 dgn air hingga hancur...
  2. bila sudah hancur, masukkan rambutan yang sudah diblender dgn sedikit air td.biarkan ia mendidih agak lama kerana takut agar2 akan cair.
  3. tambahkan gula jika mahu, kalau tidak agar2 hanya 'manis2 buah' sahaja.tutup api dan tmbh pewarna jika mahu.
  4. tuangkan agar2 dalam bekas dan biarkan ia mengeras...

CHICK ALA DELI

Dsc01108

resepi rekaan sendiri...sedap, digemari ramai- konon2nya mcm deli wing kat pizza tu....

Created on : 23-02-2008

Bahan-bahan (2 orang )

  • ayam - sebaiknya drummet/wings
  • bwg merah - ditumbuk lumat
  • bwg putih - ditumbuk lumat
  • halia - ditumbuk lumat
  • sos tiram
  • kicap pekat
  • sos cili
  • cuka - sedikit sahaja
  • serbuk black pepper - sesedap rasa
  • mix herb - guna juga utk spageti
Cara-cara
  1. perapkan ayam dgn semua bhn2 di atas lebih kurang 1 jam.nak cepat pun boleh, tp kurang rasa, kurang sebati...paling cepat pun 1/2 jam..blh juga masukkan dlm fridge...
  2. masukkan sedikit mentega/minyak zaitun dlm kuali.lebih baik guna pan-fry, supaya tak melekat
  3. masukkan ayam yg telah diperap td, gunakan api yg perlahan spy rasanya sebati..lebih elok ditutup pan-fry itu spy cpt empuk.balik-balikkan ayam smbl ditambah sos berlebihan td...blh juga dituang sos td atas ayam yg sudah dimasak dan siap dihidang...

May 22, 2009

Panduan Hukum Anak
Panduan Keibubapaan dan didikan - Umum
Written by Ana Nasir
Wednesday, 08 April 2009 16:56
Memberi hukuman kepada anak apabila mereka melakukan kesalahan, memang perkara biasa. Masa kanak-kanak adalah masa paling penting dalam proses kehidupan manusia .Tempoh ini adalah tahap awal pertumbuhan seorang anak untuk menjadi manusia dewasa sama ada dia akan menjadi manusia berguna atau sebaliknya. Pelbagai cara dalam proses mendidik antaranya memberi nasihat, arahan, petunjuk, kelembutan, toleransi, penghargaan ataupun teladan. Tetapi jika tidak berjaya dilakukan,cara memberi hukuman boleh diterapkan. Menghukum anak bukan dengan memukulnya sahaja, tetapi hukuman boleh dijalankan dengan pelbagai cara. Adakalanya memberi hukuman dengan cara memukul tidak berkesan malah menimbulkan impak negatif.

Terdapat beberapa cara memberi hukuman sebagai pendidikan kepada anak yang boleh dijadikan panduan buat ibu bapa.

1. Pandangan mata yang sinis

-Pandangan mata ibu bapa yang memancarkan rasa cinta dan kasih sayang dapat menanam rasa cinta dalam diri anak. Begitu juga pandangan mata yang sinis dapat menimbulkan peringatan pada si anak dan membuatkan anak terdiam.

2. Keluarkan suara daripada tenggorok ( mendengus ) sebagai tanda tidak bersetuju dan peringatan untuk anak mengenai apa yang dilakukannya.

3. Puji orang lain di hadapan anak dengan memberikan rasa sangsi kepada si anak dan mendorongnya untuk menjadi sebagus yang dipuji.

4. Tunjukkan seolah-olah tidak peduli pada anak. Ini tindakan berlawanan daripada sikap memberi perhatian yang dapat menanam rasa cinta pada diri anak. Contohnya, jika anak melakukan kesalahan dan hendak diberi hukuman, apabila si anak mengajak berbicara, palingkan wajah sehingga si anak menyedari kesilapannya.

5. Haruslah dijelaskan kesalahannya dengan cepat dan tidak membiarkannya berterusan kerana ibu bapa berperanan sebagai pendidik.

6. Tidak memberi ganjaran wang, tidak mengajaknya melakukan aktiviti rekreasi atau tidak memberikan sesuatu yang digemarinya.

7. Memulas telinga. Sebagaimana yang pernah dilakukan Rasulullah SAW.

8. Memukul.

-Merupakan alternatif terakhir. Ia tidak harus dilakukan kecuali semata-mata untuk mendidik dan menghukum. Memukul anak dapat dilakukan jika cara yang lain tidak berfungsi dan si anak sudah mencapai umur kerana anak yang belum mumaiyiz tidak dapat membezakan yang benar dan yang salah. Bahkan ank-anak tidak menyedari kesalahannya dan merasakan apa yang dilakukan adalah betul.

Beberapa panduan untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak :

· Rasa selamat. Sayangi anak sepenuh hati akan memberi perasaan selamat pada anak dan membina emosi anak yang kental. Jika anak menunjukkan sikap tidak hormat, tegur dan beri penjelasan.

· Rasa dihargai. Sentiasa menghormati pandangan dan pendapat anak yang sedang membesar kerana mereka juga mempunyai perasaan serta keinginan untuk dihargai sebagai individu. Oleh itu, babitkan dirinya dalam perbualan seharian keluarga seawal usia satu tahun.

· Rasa penting. Kadang-kala ibu bapa ingin memberi sepenuh kasih saying menyebabkan anak dikongkong. Oleh itu, beri mereka peluang untuk memegang tanggungjawab. Latih anak melakukan beberapa tugas kecil dalam keluarga mereka supaya berasa dirinya penting.

· Jadikan waktu membesar menceriakan. Keluarga bahagia adalah keluarga yang ceria. Rumah tempat memupuk keceriaan, suasana riang dan membina kenangan manis.

· Hadiahkan mereka nilai murni. Menjadi lumrah kanak-kanak meminta sebarang benda yang mereka lihat di televisyen atau milik kawannya.

Oleh itu, latih anak menghargai setiap pemberian daripada rakan dan sanak-saudara. Ini akan menyemai nilai bertimbang rasa, kesyukuran, persahabatan dan hormat-menghormati pada jiwa anak.

References : Harian Metro- Famili- Rabu,18 Jun


May 20, 2009

May 19, 2009

Selesema pada bayi...


Sudah beberapa hari si kecil Amni Humaira selesema, disusuli pula dengan batuk. Sudah berbotol-botol ubat saya bagi, tapi tak baik-baik jugak. Petua org lama pun dah saya ikut,tapi belum nampak hasilnya lagi. Selalunya saya sapu minyak pada ubun-ubunnya. Sebenarnya baru 2 minggu lepas dia baik dari selesema ni,tp dah berjangkit dari kakak2nya pulak. Saya teringat kata-kata seorang doktor. Katanya dia pun hairan kenapa bayi mudah terkena selesema,padahal bayi tersebut menyusu terus dari ibunya.Sepatutnya antibodi bayi itu sudah tentu akan jadi lebih kuat.Kalau difikirkan memang betul kata2 doktor itu.Apapun sebagai seorang ibu, apabila anak2 terkena sesuatu penyakit tidak kiralah w/pun yg ringan sahaja (yg berat apatah lagi), hati kita sudah risau.Betul tak?
Di sini ingin saya berkongsi beberapa petua tradisional dan juga moden yang pernah saya gunakan untuk anak-anak. Adakalanya menjadi dan adakalanya juga tidak. Yang penting kita boleh mencubanya terlebih dahulu.
@Ambil beberapa tangkai daun sirih, tekan dengan jari hingga mengeluarkan lendirnya. Kemudian sapukan pada batang hidung bayi. Cara ini akan melegakan selsema dan pernafasan menjadi mudah.
@Sapukan minyak pada ubun-ubun bayi ketika bayi hendak tidur. Anda juga boleh menggunakan kunyit hidup yang dipotong melintang untuk disapukan pada pangkal batang hidung bayi.
@Untuk batuk pula,bolehlah disapukan vicks yang khusus untuk bayi dan kanak-kanak pada tapak kaki, dada,belakang dan leher bayi selepas mandi dan sebelum tidur. Adalah lebih baik jika dipakaikan stokin selepas menyapu vicks tersebut.

Apapun diharap pengalaman saya ini dapat membantu rakan-rakan dan berkongsi pengalaman dengan saya. Sekiranya ada petua-petua lain bolehlah diketengahkan di sini.

May 18, 2009

salam perkenalan...

Assalamualaikum...salam perkenalan kepada sesiapa yg telah memasuki blog saya ini secara sengaja ataupun tidak disengajakan. Ini adalah kali pertama saya cuba menceburkan kaki ke dalam dunia blog ini. Meskipun telah sekian lama dunia blog ini hadir di alam siber, namun hati saya tidak tergerak untuk mencubanya. Namun setelah mendapat dorongan dan sokongan dari suami tercinta, barulah saya cuba mendekati dunia ini. Walaupun begitu, pengisiannya tertangguh beberapa ketika kerana ketiadaan idea dan kesibukan melaksanakan tugas2 seharian. Tidak dinafikan juga kerana "kemalasan dan kehilangan mood".
Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga hasrat untuk memenuhkan blog saya ini. Dan insyaallah juga selepas ini saya akan cuba meng'update' blog dari masa ke masa jika diizinkan Allah. Saya juga mengharapkan kawan-kawan dan bakal kawan2 untuk memeriahkan lagi blog ini. Sekiranya ada sebarang komen,kritikan yang membina dan apa2 sahaja yang berkaitan, silalah kemukakan kepada saya. Insyaallah akan saya pertimbangkan cadangan anda itu. Amin....

a happy family....

a happy family....