Search This Blog

June 27, 2009

sport day Huril 'ain Nazifa



Pada 20 Jun 2009 bersamaan hari Sabtu berlangsunglah 'sport day' bagi Graceland Kindergarten.Sport day atau hari sukan ini sering diadakan setiap kali menjelang bulan Jun yang menandakan sekolah telah berlangsung selama satu semester.Pada hari ini juga berlangsungnya hari penyampaian hadiah kepada anak2 yang mendapat nombor 1,2 dan 3 dalam peperiksaan pertengahan tahun.Ini bermakna setiap tahun kindergarten tersebut akan mengadakan hari penyampaian hadiah sebanyak 2 kali.

Menurut pengetua Graceland Kindergarten iaitu Puan Fadzilah, penyampaian hadiah itu diadakan untuk memberi dorongan dan motivasi kepada kanak2 yang belajar di situ.Menurutnya lagi dari situlah para guru dapat menilai setakat mana pencapaian pelajar2 mereka.Bagi pelajar yang tidak mendapat hadiah pula, mereka masih lagi berpeluang untuk bersaing bagi peperiksaan akhir tahun pula.

Pada hari itu juga kanak2 tersebut akan bermain pelbagai jenis permainan seperti lari sambil membawa sudu yang berisi bola pingpong,ikat reben pada tangan,'passing ball' dll.Kesemua permainan ini bertujuan untuk menguji ketangkasan dan kecerdasan anak2.Pada masa ini juga menyaksikan penglibatan ibu dan bapa yang sengaja diadakan secara 'on the spot'.Pelbagai aksi dan perkara lucu yang berlaku pada hari tersebut.

Sport day berakhir pada pukul 1 tengahari.Kami sekeluarga turut pergi memberi sokongan kepada anak sulungku iaitu Huril'ain Nazifa.Penyertaannya di dalam permainan kali ini membuahkan hasil walaupun hanya beroleh tempat ke3 dalam perlawanan mengikat reben.Ini menandakan kali ini dia lebih berseronok dan turut mempamerkan kemahirannya berbanding tahun lepas.Tahun ini juga menyaksikan dia sekali lagi menerima piala di atas pencapaiannya walaupun memperlihatkan sedikit kemerosotan dari tahun lepas lepas.Namun aku tetap berpuashati dengan kejayaannya kerana tahun ini pelbagai matapelajaran yang diajar.Maka sudah tentulah dia tidak dapat mengejar kesemuanya.Walaupun dia hanyalah pelajar pada tahap tadika namun dari sinilah kita seharusnya dapat menilai setakat mana keupayaan anak2 kita.Dan insyaallah kami sebagai ibu bapa akan terus memberi sokongan dan membantunya setakat yang terdaya untuk menghadapi pelbagai lagi cabaran yang akan dihadapinya.Dan ketahuilah wahai anakku Huril'ain Nazifa bahawa umi tetap berbangga dengan setiap kejayaanmu asalkan kamu mahu berusaha.Insyaallah..




sarapan roti sosej


Pagi ini timbul idea aku untuk menyediakan sarapan ringkas dan menjadi kegemaran anak2 daraku.Roti yang dimasukkan sosej di dalamnya,ala-ala roti sosej (or roti john kot)yang dijual di gerai2.Roti itu aku bakar selama lebih kurang 6 minit, manakala sosej pula aku goreng dengan sedikit minyak zaitun menggunakan drypan.Kemudian aku tabur pula sedikit garam bukit dan secubit lada hitam untuk memberikan rasa.
Namun rasanya ada jugak yang kurangnya,iaitu sayur spt salad dan timun.Tetapi yang pastinya sarapanku ini laku pada sosejnya.Akhirnya tinggal rotinya sahaja,sudah tidak cukup syarat.Walaubagaimana pun, semoga sarapan pagi ini memberikan kesihatan yang baik kepada kami sekeluarga.

June 26, 2009

Masak Lemak Bunga Betik dan udang









Bahan-bahan ( 4 org makan )

  • udang (ikut suka saiz)
  • bunga betik (direbus dan dibuang airnya untuk menghilangkan rasa pahit)
  • tempoyak
  • santan/susu segar
  • bwg merah,bwg putih,cabai melaka/merah,kunyit hidup,sedikit belacan-ditumbuk
  • garam/perasa

Cara-cara

  1. mula2 rebus bunga betik,buang air,kmdn rebus sekali lagi.masukkan gula.kmdn buang airnya..ambil bunganya sahaja.
  2. bahan2 tumbuk dimasukkan ke dalam periuk yang berisi air.biarkan mendidih.
  3. masukkan udang,biar mendidih.masukkan santan/susu.kacau supaya tidak pecah minyak.
  4. masukkan tempoyak ikut citarasa.lebih tempoyak lebih lemak dan masam.kemudian masukkan bunga betik.biar mendidih sekejap dan tutup api.
PERANAN BAPA SEMAKIN MENCABAR
Oleh: Lokman bin Ismail

Masyarakat menghargai pengorbanan ibu. Hari Ibu disambut meriah setiap tahun. Bermacam-macam program diadakan sempena Hari Ibu. Tetapi pengorbanan bapa seperti dilupakan. Ramai tidak menyedari wujudnya sambutan Hari Bapa. Tidak ada pihak mengadakan program meraikan Hari Bapa. Tidak ada tokoh Bapa Mithali atau Bapa Soleh seperti dianugerahkan kepada ibu sempena Hari Ibu.

Persoalan ini ditimbulkan bukan atas rasa irihati kaum bapa terhadap kaum ibu. Tujuannya lebih menumpukan untuk melahirkan rasa kesedaran kaum bapa terhadap tanggungjawab yang terpaksa ditanggung kerana manusia mudah lupa jika tidak diulang sebut tentang tanggungjawab mereka. Manusia kurang motivasi jika apa yang dilakukan tidak dihargai. Wajar benar sambutan hari Bapa turut dimeriahkan seperti sambutan Hari Ibu.

Perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada kepimpinan bapa. Perkara itu meliputi keupayaan mendidik, menjaga keselamatan, memberi kasih sayang, menyara perbelanjaan dan mempertahankan maruah. Justeru, bapa perlu banyak berkorban demi melaksanakannya.

Sesungguhnya dalam hal ini bapa menanggung amanah yang besar.Maka dalam melaksanakan tugas tersebut memerlukan keikhlasan, kesediaan, kesungguhan, pengetahuan tentang tugas kebapaan, kemampuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Semua aspek ini mempunyai pendekatan berbeza yang wajar dilakukan oleh setiap bapa dengan perasaan yakin dan tenang. Setiap aspek memerlukan kemahiran dan kemampuan khusus yang perlu dikuasai oleh kaum bapa.Kemahiran kebapaan bukan lahir secara ‘kebetulan’ apabila bergelar bapa. Semuanya memerlukan usaha ke arah itu. Seorang bapa dapat mendalami ilmu
kebapaan dengan menghadiri kursus, berkongsi pengalaman, pembacaan dan penghayatan terhadap tugas.

Tugas bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anak. Bahkan belum sempurna tugas tersebut biarpun telah berjaya memberi kemewahan material kepada anak-anak. Keperluan bapa melaksanakan tanggungjawab adalah meliputi keperluan fizikal dan rohani. Kedua-dua keperluan itu sama penting.Bapa tidak patut menganggap tugas yang dilakukan sebagai satu beban.Perasaan teras terbeban dengan tanggungjawab akan menghilangkan rasa ikhlas. Ini menjadikan keadaan lebih kusut dan bercelaru. Tanggungjawab kebapaan tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Sebenarnya memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT adalah satu jihad bagi seorang bapa untuk mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak dan ahli keluarga juga adalah sebahagian daripada jihad. Apa yang dilakukan tidak sia-sia. Setiap tenaga yang dicurahkan dan wang yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah. Balasan pahala yang disediakan amat besar. Bapa mithali mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik. Rasulullah SAW menjelaskan aspek pergaulan dan kasih sayang adalah intipati kebahagiaan sesebuah keluarga. Oleh itu Rasulullah SAW menganjurkan agar setiap bapa sentiasa melakukan yang terbaik untuk keluarganya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak mereka. Mereka menganggap perkara tersebut tidak penting dalam membina kebahagiaan keluarga. Ada sebilangannya yang lebih suka menunjukkan sikap bengis sebagai cara mendidik anak. Dengan itu anak tidak berpeluang ‘duduk rapat’ dengan bapa. Cara ini mengikut mereka lebih berkesan agar anak-anak mudah mendengar kata dan tidak berani melakukan perbuatan yang ditegah.

Namun begitu cara sedemikian mungkin berkesan ketika mana anak-anak masih kecil tetapi hakikatnya kepatuhan anak kepada setiap larangan bukanlah atas kesedaran atau kefahamannya mengapa sesuatu itu perlu dilakukan atau dijauhi. Sebaliknya, anak tersebut tidak melakukan perbuatan dilarang hanya disebabkan takut kepada hukuman.

Sebenarnya, bapa wajar sentiasa mengambil pendekatan terbaik untukmembentuk hubungan mesra dan ceria dengan anak-anak. Ajarkan kepada anak apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Beritahu mereka mengapa begitu dan begini terjadi. Malah, bapa sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik.Di waktu itulah juga masa yang sesuai dijelaskan kaitan larangan dengan kehendak agama dan undang-undang kerana semua yang betul dan salah mempunyai alasan yang perlu diperjelaskan kepada anak. Jika ada perkara yang belum mampu mereka fahami, beritahu mereka “apabila dewasa nanti baru faham. Sekarang ini cukuplah tahu kena buat, jangan buat, boleh dan tidak boleh buat”.

Amat penting bagi bapa agar sentiasa berpegang bahawa konsep mendidik anak hendaklah berterusan. Bapa adalah contoh ikutan untuk membentuk peribadi anak. Oleh itu anak memerlukan masa bersama-sama bapa untuk memerhati dan mencontohi apa yang dilakukan oleh bapanya. Bapa adalah guru yang paling berkesan. Anak mudah ‘percaya’ apa yang diberitahu oleh bapanya.

Hal ini amat penting dalam soal akidah dan keimanan kerana bapa yang mencorakkan akidah anak mengikut apa yang diajarkan dan anak ‘sedia’ menerima apa yang diberikan kepada mereka. Sekiranya bapa tidak menjalankan tanggungjawab tersebut akan ada pihak lain akan mengambil alih.Oleh itu amat penting bagi seseorang bapa memastikan apa yang sepatutnya diterima oleh anak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)Pengaruh negatif persekitaran dan rakan sebaya contohnya boleh menyebabkan anak-anak hilang pedoman jika tidak dibimbing. Anak yang bermasalah dan terlibat dengan gejala yang tidak baik kebanyakannya adalah berpunca dari kurangnya perhatian daripada bapa.

Hadith riwayat at-Tirmizi bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.”
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala),” (at-Tahrim: 6)

Bapa mithali akan sentiasa mencari peluang untuk menghabiskan masa bersama-sama dengan anak dan ahli keluarga. Bahkan anak menjadi inspirasi kepada seseorang bapa untuk terus berusaha lebih gigih dan sentiasa mengutamakan keluarga. Sebab itulah keletihan dan tekanan kerja akan hilang apabila melihat wajah anak-anak serta mendapat layanan mesra daripada isteri. Sebaliknya, bapa yang tidak bertanggungjawab akan menganggap anak dan isteri sebagai beban dan menambahkan tekanan jiwa. Akhirnya mereka menjadi mangsa melepas geram akibat tekanan perasaan yang sebenarnya berpunca daripada masalah lain. Keadaan ini memburukkan lagi interaksi dan kasih sayang dalam keluarga sehingga kehidupan menjadi lebih tertekan.Sebab itulah, bapa bermasalah lebih suka berada di luar rumah bersama-sama rakan. Mereka lebih mengutamakan kawan-kawan daripada apa yang diperlukan oleh anak-anak dan isteri. Tindakan ini sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah.

Ramai juga para bapa yang sentiasa menghabiskan masa di luar rumah akan mudah terlibat dalam aktiviti kurang baik. Akibatnya tanggungjawab terhadap keluarga semakin diabaikan.Oleh itu para bapa janganlah mengambil mudah kasih sayang dan perhatian yang diperlukan oleh anak. Para bapa tidak boleh beranggapan bahawa sudah memadai kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh ibu.Diriwayatkan oleh Bukhari satu kisah bahawa pada satu hari semasa Rasulullah mencium cucunya, perbuatan itu dilihat oleh Aqra bin Habis at-Tamimi
lalu beliau mengatakan: “Aku mempunyai sepuluh anak, tetapi tidak seorang pun daripada mereka pernah aku cium.” Rasulullah SAW lalu menjawab: “Apa dayaku apabila Allah telah mencabut kasih sayang daripada hatimu”.Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah SAW sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk.

Sesungguhnya kasih sayang berterusan seorang bapa terhadap anak biarpun yang sudah berkahwin bukanlah mengganggu urusan hidup anak,kerana ikatan kasih sayang bapa terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat.Kesimpulannya, anak-anak akan lebih menghormati dan kagum kepada bapa yang sedia memahami dan menghormati keperluan mereka. Anak tidak
akan mensia-siakan pengorbanan bapa yang menjalankan tanggungjawab yang terbaik.

June 16, 2009

hepi father's day backdated...

Hari Bapa menjelang lagi...kali ini rasanya meriah sedikit berbanding tahun2 lepas memandangkan anak2 sudah pandai mengucapkannya.Dan kali ini Huril 'ain Nazifa sendiri yang mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada abahnya.Diajar pula kepada adiknya Ainul Shifa Najla.Ucapan itu mengikut pelat dan slanga mereka sendiri.

Anak-anak juga menyatakan niat untuk memberi hadiah kepada abah mereka.Mungkin si kakak mendengar dari 'teachers'nya di sekolah tentang hari istimewa untuk insan yang bergelar bapa ini.Dia sendiri yang mahu menulis ucapan di kertas pembalut hadiah berpandukan kata-kata dari saya.Rasa teruja dan bangga juga bila melihat anak sudah pandai menzahirkan perasaan yang lahir dari hati dengan kata-kata dan ucapan serta menzahirkannya pula dalam bentuk tulisan.

Harapan saya semoga dengan hadiah yang tidak seberapa itu (biarpun lucu) tetap mengundang rasa terharu di hati abah.Untuk pengetahuan abah, hadiah itu memang dipilih oleh anak-anak sendiri.

Berbalik kepada cerita hari bapa ini, ingin aku merakamkan ucapan keramat itu untuk abah tercinta iaitu Mia Abdullah B. Yaacob.Walaupun aku tahu tak mungkin abah akan melihat blog aku ini dan mendengar ucapan itu dr mulutku, namun aku ingin juga mengucapkannya dengan tulisan ku ini.Memang kita orang Melayu ini amat jarang sekali mengucapkan kata2 kasih sayang kepada orang tersayang seperti kedua ibu bapa kita.Tidak seperti budaya orang Inggeris yang menzahirkan kata2 tersebut secara bersahaja.Budaya kita di sini amat payah sekali untuk mengucapkannya mungkin disebabkan oleh budaya zaman datuk nenek kita dahulu.Pada zaman dahulu kata2 yang berupa kasih sayang itu dianggap seperti kata2 yang berunsur tidak baik dan tidak patut diucapkan.

Mujurlah zaman kita ini sambutan seperti hari ibu,hari bapa dan sebagainya (ada juga yang tidak sepatutnya disambut oleh orang Islam)dipopularkan kembali.Sekurang-kurangnya dapatlah orang Melayu seperti kita yang terlalu malu untuk mengucapkannya menjadi 'kurang malunya'.Walaupun tidak mampu untuk mengucapkan dengan kata-kata,namun mampu juga menzahirkannya melalui tulisan dan pemberian hadiah.Walaubagaimanapun, hadiah itu hanya salah satu dari pengukuhan kepada penghargaan itu.

Inilah yang cuba aku terapkan kepada anak2 yang semakin membesar ini.Harapanku supaya mereka boleh mengucapkannya dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.Namun bukanlah sewenang-wenangnya diucapkan kepada orang sembarangan.Penerangan harus diberikan kepada mereka dengan berhati-hati untuk mengelakkan kekeliruan.

Tidak lupa juga Selamat Hari Bapa kepada bapa mertua, bapa saudara,abang2 ku yg sudah menjadi bapa dan semuanya..Semoga peranan seorang bapa dapat diaplikasikan dengan sebaik-baiknya mengikut ajaran dan sunnah..Amin...

June 05, 2009

MENU "MAKAN BESAR" BERSAMA FAMILI TERCINTA

Hari meraikan keluarga telah kami laksanakan dengan serba kekurangan.Tujuan asal untuk mengumpulkan sanak saudara terdekat tidak menjadi kerana pelbagai halangan.
Walaubagaimanapun, acara tetap kami teruskan memandangkan segala persiapan telah pun tersedia.

Untuk pengetahuan tetamu yang memasuki blog saya secara sengaja ataupun tidak disengajakan, resepi yang kami sediakan ini adalah dari spesis ikan yang bernama "Ikan Mandi Abu".Inilah kali pertama saya melihat dan mendengar nama ikan ini.Mungkin anda pernah atau telah biasa memakan ikan ini ataupun mungkin di tempat anda ikan ini diberi nama lain.Tetapi kelazatannya tidak dapat dinafikan dan boleh dikatakan menyamai dengan ikan bersaiz besar yang lain, seperti ikan kerapu atau pun ikan siakap.Biarpun resepinya adalah mudah dan hanya asas sahaja, namun kemanisan ikan ini bukan terletak pada sosnya tetapi pada ikan itu sendiri.Bagi tetamu yang ingin mencuba resepi mahupun hanya melihat sahaja,akan saya paparkan di ruangan resepi kelak.

a happy family....

a happy family....